AIR SELANGOR CERIAKAN 100 INDIVIDU WARGA EMAS DAN KANAK-KANAK KURANG BERNASIB BAIK SEMPENA SAMBUTAN TAHUN BAHARU CINA

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkongsi keceriaan sempena meraikan Tahun Baharu Cina menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sesama Mara dengan meraikan komuniti kurang bernasib baik yang terdiri daripada 100 individu warga emas dan kanak-kanak yang tinggal di rumah pertubuhan sosial. Air Selangor telah menyerahkan sumbangan kepada wakil-wakil dari Pusat Jagaan Rumah Love and Care di Kajang; Rainbow Home di Taman Fern Grove, Cheras; dan Pertubuhan Rumah Anak Yatim Berkat Kasih di Taman Klang Jaya, Klang pada hari ini.

Pusat Jagaan Warga Emas Rumah Love and Care telah menerima sumbangan barangan makanan dan barangan keperluan rumah seperti perabot serta alat-alat untuk berkebun. Bagi memastikan keselesaan 30 penghuni warga emas di rumah itu, Air Selangor turut memeriksa keadaan paip dalaman rumah serta menjalankan perkhidmatan kawalan serangga.

Bagi 70 orang kanak-kanak kurang bernasib baik yang mendiami rumah perlindungan di Rainbow Home di Taman Fern Grove dan Pertubuhan Rumah Anak Yatim Berkat Kasih pula, sumbangan barang makanan untuk dimasak semasa hari perayaan, barangan pembelajaran serta perabot baru seperti sofa dan almari amat menceriakan mereka. Air Selangor juga turut mengambil inisiatif untuk memeriksa paip air dalaman di kedua-dua rumah kebajikan ini untuk memastikan kesemua kanak-kanak ini tinggal dengan selesa semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Selain sumbangan dalam bentuk barangan dan makanan, kesemua warga emas dan kanak-kanak kurang bernasib baik ini amat gembira dengan pemberian paket ‘angpow’ bersempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada Jumaat ini. Ini kerana sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang disambut dalam suasana pandemik COVID-19 telah menghadkan pergerakan dan tiada lagi aktiviti kunjung mengunjung daripada masyarakat sekeliling seperti tahun-tahun sebelum ini.

Air Selangor berharap agar bantuan yang dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan rumah-rumah perlindungan ini dalam menjaga kebajikan golongan yang kurang bernasib baik, lebih-lebih lagi untuk menyambut perayaan Tahun Baharu Cina dalam situasi sukar ketika pandemik COVID-19 ini.

Program Sesama Mara merupakan inisiatif akar umbi yang bertujuan untuk membantu komuniti sekeliling di samping memperkukuhkan hubungan Air Selangor bersama pelbagai lapisan masyarakat seperti komuniti setempat, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai program-program Sesama Mara, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.

 

– TAMAT –

Related posts

default
Air Selangor Semarakkan Sambutan Bulan Ramadan Menerusi Inisiatif C...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat, Sesama Mara telah menjalankan pelbagai …

default
Air Selangor Kongsi Pencapaian 2023, Akan Mempergiat Usaha dan Inis...
Media

Disiarkan pada 22 Februari 2024   Kuala Lumpur – Bagi merealisasikan visi 2030 untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di …

default
Air Selangor Ceriakan Warga Emas dan Kanak-Kanak Sempena Sambutan T...
Media

Disiarkan pada 9 Februari 2024   Kuala Lumpur – Sempena ketibaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut Sabtu ini, Pengurusan …