Air Selangor Ceriakan Warga Emas dan Kanak-Kanak Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina

Disiarkan pada 9 Februari 2024

 

Kuala Lumpur – Sempena ketibaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut Sabtu ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sesama Mara telah meraikan warga emas dan kanak-kanak di tiga (3) buah rumah kebajikan.

 

Menerusi inisiatif ini, Air Selangor telah menyumbang barangan keperluan asas seperti makanan, pakaian harian dan barangan keperluan rumah dan juga menyalurkan bantuan baik pulih paip di tiga (3) buah rumah kebajikan kanak-kanak di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur iaitu Rumah Orang Tua Seri Kembangan, Pertubuhan Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Kaizen Selangor dan Kuala Lumpur dan Persatuan Rumah Caring Kajang Selangor.

 

Selain memberi bantuan dan mengunjungi rumah-rumah kebajikan tersebut, pasukan sukarelawan Hydro Heroes yang terdiri daripada 23 warga kerja Air Selangor turut sama menyertai program CSR ini dengan menghias kawasan rumah-rumah kebajikan ini dengan hiasan tanglung dan lain-lain. Selain itu, para sukarelawan turut menghiburkan para penghuni dengan aktiviti menggaul ‘yee sang’ dan pemberian paket ‘angpow’ bagi menceriakan lagi sambutan Tahun Baharu Cina mereka.

 

Sumbangan kecil yang dihulurkan diharap sedikit sebanyak dapat membawa keceriaan kepada kesemua penghuni di rumah-rumah kebajikan ini dan memeriahkan lagi sambutan Tahun Baharu Cina mereka kali ini.

 

Di bawah payung Sesama Mara juga, Air Selangor telah mengagihkan bantuan barangan makanan asas Box of Hope kepada golongan yang memerlukan. Sebanyak 4,975 kotak ‘Box of Hope’ telah diagihkan sehingga kini kepada keluarga B40 di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sejak inisiatif ini mula diperkenalkan pada 30 Jun 2020.

 

Air Selangor berharap bantuan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat membawa kegembiraan di samping memperkukuhkan hubungan antara pelbagai lapisan masyarakat seperti komuniti setempat, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.

 

Kaedah sumbangan Box of Hope dalam bentuk pembelian fizikal boleh dilakukan di lima (5) lokasi Box of Hope Village Grocer iaitu Tamarind Square Cyberjaya, MyTOWN Shopping Centre Cheras, 1 Mont Kiara, Central i-City Shah Alam dan Melawati Mall Ampang. Selain itu, Air Selangor juga telah melancarkan inisiatif Box of Hope versi digital yang membolehkan orang ramai menyalurkan sumbangan secara digital melalui laman sesawang www.airselangor.com/boxofhope/.

 

Sesama Mara merupakan inisiatif akar umbi yang bertujuan untuk membantu komuniti sekeliling di samping memperkukuhkan hubungan Air Selangor bersama pelbagai lapisan masyarakat seperti komuniti setempat, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai program-program Sesama Mara, sila layari laman sesawang Air Selangor di https://www.airselangor.com/sesamamara/.

 

-TAMAT- 

Related posts

default
Air Selangor Semarakkan Sambutan Bulan Ramadan Menerusi Inisiatif C...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat, Sesama Mara telah menjalankan pelbagai …

default
Air Selangor Kongsi Pencapaian 2023, Akan Mempergiat Usaha dan Inis...
Media

Disiarkan pada 22 Februari 2024   Kuala Lumpur – Bagi merealisasikan visi 2030 untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di …

default
Air Selangor Santuni Tiga Rumah Kebajikan Sempena Sambutan Krismas
Siaran

21 Disember 2023 Kuala Lumpur – Bagi berkongsi kegembiraan sempena Hari Krismas, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di …