AIR SELANGOR CAPAI SASARAN PENURUNAN KADAR AIR TIDAK BERHASIL (NRW) 28.6% BAGI TAHUN 2020

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin mengumumkan bahawa untuk tahun 2020, pencapaian purata Air Tidak Berhasil atau Non-Revenue Water (NRW) telah berjaya diturunkan kepada kadar 28.6% berbanding purata NRW pada kadar 29.7% untuk tahun 2019.  Pencapaian ini  telah melebihi sasaran pada kadar 29.2% yang  ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).  Penurunan kadar NRW bagi tahun 2020 ini berjaya dicapai sungguhpun Air Selangor berdepan dengan situasi yang amat mencabar di tapak berikutan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah sedikit sebanyak mempengaruhi kemajuan kerja yang dirancang. Penurunan sebanyak 1.1% ini juga bermakna kehilangan air terawat di dalam sistem pengagihan telah dapat dikurangkan sebanyak 43 juta liter sehari (JLH), iaitu bersamaan dengan 43 juta botol air bersaiz 1 liter sehari.

Penurunan kadar NRW ini berjaya dicapai melalui perancangan strategik dan pelaksanaan beberapa inisiatif, khususnya inisiatif dalaman (in-‘house’) yang telah bermula sejak tahun 2017.  Bagi tahun 2020, Air Selangor telah membelanjakan sebanyak RM255 juta untuk mengurangkan kadar NRW melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif, termasuk:

  • Kejayaan pasukan Pakar Kebocoran (Leak Specialist – ‘LS’) dan Pemeriksa Kebocoran (Leak Inspector – ‘LI’) Air Selangor dalam mengesan lebih 90 ribu kes paip bocor pada saluran paip di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Sehingga kini, Air Selangor mempunyai seramai 54 orang petugas LS dan 133 orang petugas LI.
  • Pelaksanaan Program Pengesanan Kebocoran Secara Aktif (Active Leakage Control), Pogram Pembentukan Zon Pemeteran Daerah (District Meter Zones Establishment) dan Program Penggantian Paip Lama. Pelaksanaan program-program ini yang telah mengurangkan insiden paip pecah sebanyak 51%, dari 5,398 kes pada tahun 2017 kepada 2,620 kes pada tahun 2020. Hasilnya, Air Selangor merekodkan Indeks Paip Pecah (PBI) sebanyak 8 kes paip pecah bagi setiap 100 km, berbanding tanda aras PBI antarabangsa iaitu 13 kes paip pecah bagi setiap 100 km setahun.
  • Air Selangor juga telah memasang sebanyak 1,650 sensor ‘pressure transient’ pada paip-paip utama untuk mengesan kebocoran pada peringkat awal yang mana membolehkan tindakan pembaikan dapat dilaksanakan segera. Pada masa yang sama, pressure transient dapat mengelakkan paip-paip utama tersebut dari pecah, yang seterusnya boleh megakibatkan gangguan bekalan air kepada pengguna. Teknologi ini turut digunakan oleh operator-operator air di negara-negara maju seperti Singapura, Australia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
  • Penggunaan Alat Pengesan Kebocoran Kekal (Permanent Leak Noise Correlating Logger) yang berupaya mengesan kebocoran dalam sistem paip retikulasi setiap masa, 24 jam sehari. Sistem pemantauan secara atas talian ini membolehkan tindakan pembaikan segera dapat dilaksanakan setelah data menunjukkan terdapat kebocoran di dalam paip. Sehingga akhir tahun 2020, sebanyak 1,640 alat pengesan kebocoran kekal telah dipasang di 36 Zon Permeteran Daerah.

Air Selangor terus komited untuk mencapai penurunan NRW pada tahun ini dengan memperuntukkan sejumlah RM293 juta untuk dibelanja pada tahun 2021. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM170 juta telah diperuntukkan untuk Program Penggantian Paip Lama yang kritikal dan sebanyak RM16 juta untuk penukaran meter lama dan rosak.

Selain daripada itu, Air Selangor telah dimaklumkan bahawa untuk tahun 2019, ia telah layak menerima imbuhan balik melalui Program NRW Kebangsaan melalui Pendekatan 2. Imbuhan ini merupakan insentif geran yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia untuk menggalakkan pengurangan NRW secara efektif dan berterusan berdasarkan sasaran yang telah ditetapkan oleh SPAN.  Pada tahun 2019, Air Selangor telah berjaya mencatatkan penurunan kadar NRW yang cemerlang, iaitu penurunan sebanyak 2% dari 31.7% pada tahun 2018, kepada 29.7%.  Penurunan ini juga adalah pencapaian yang lebih baik berbanding sasaran asal iaitu sebanyak 1%, dan telah disahkan oleh SPAN berdasarkan audit yang dijalankan pada bulan Julai 2020.

Dengan penurunan ini, Air Selangor beriltizam untuk terus mengurangkan kadar NRW ke tahap 25% pada tahun 2025 dan seterusnya ke tahap 15% menjelang tahun 2049. Penurunan kadar NRW pada tahun 2020 menunjukkan komitmen berterusan Air Selangor dalam memastikan air bersih dapat disalurkan kepada para pengguna tanpa pembaziran.

Air Selangor juga amat berharap orang ramai dapat melaporkan dengan segera sekiranya melihat atau mengetahui insiden paip bocor dan pecah, sambungan paip secara haram serta meter yang dimanipulasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab menerusi Pusat Perhubungan di talian 15300, aplikasi Air Selangor, sosial media rasmi Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.

 

– TAMAT –

Related posts

default
Air Selangor Semarakkan Sambutan Bulan Ramadan Menerusi Inisiatif C...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat, Sesama Mara telah menjalankan pelbagai …

default
Air Selangor Kongsi Pencapaian 2023, Akan Mempergiat Usaha dan Inis...
Media

Disiarkan pada 22 Februari 2024   Kuala Lumpur – Bagi merealisasikan visi 2030 untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di …

default
Air Selangor Ceriakan Warga Emas dan Kanak-Kanak Sempena Sambutan T...
Media

Disiarkan pada 9 Februari 2024   Kuala Lumpur – Sempena ketibaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut Sabtu ini, Pengurusan …