Air Selangor Bakal Jana 1,460 GWh Tenaga Elektrik Hijau Setiap Tahun, Capai Neutraliti Karbon Menjelang 2040 menerusi Visi Tenaga Net Zero

30 November 2023

Kuala Selangor – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) hari ini melancarkan inisiatif Visi Tenaga Net Zero 2040 ke arah penggunaan tenaga lestari yang cekap bagi mencapai sasaran karbon sifar bersih menjelang 2040, serta turut menyokong komitmen Malaysia terhadap neutraliti karbon menjelang 2050.

Seiring dengan Pelan Peralihan Tenaga Nasional (National Energy Transition Roadmap – NETR), inisiatif Visi Tenaga Net Zero yang dilancarkan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) ini mensasarkan penjanaan 1,460 GWh (gigawatt hour) tenaga elektrik hijau setiap tahun menjelang 2040, melibatkan pengelakan 1,138,800,000 kg pelepasan gas CO2 (carbon avoidance), serta mengurangkan Indeks Tenaga Korporat sebanyak 15% dalam tempoh 15 tahun.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir. Abas Abdullah dalam ucapannya ketika majlis pelancaran tersebut, menerusi usaha Visi Tenaga Net Zero ini, 9.1 juta pengguna di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan menikmati bekalan air terawat yang bersih dan selamat yang dihasilkan menggunakan tenaga boleh baharu (renewable energy – RE) sepenuhnya.

“Visi Tenaga Net Zero Air Selangor ini bukanlah sekadar satu hasrat, tetapi komitmen tegas kami yang berteraskan kelestarian untuk generasi akan datang. Dengan pelaksanaan inisiatif ini, tenaga boleh baharu yang dijana bagi kegunaan sendiri dapat mengurangkan kos operasi Air Selangor dan bakal menjadikan Air Selangor sebagai pelopor tenaga boleh baharu berskala besar di Malaysia.

“Kami percaya dengan strategi dan langkah yang tepat, kami mampu mencapai matlamat ini tanpa mengabaikan keperluan serta keselesaan para pengguna kami,” menurut Ir. Abas.

Dengan pelaksanaan tiga fasa secara keseluruhan sehinggan tahun 2040, Air Selangor telah memulakan fasa pertama dengan pemasangan panel fotovoltaik solar (PV) di LRA SSP2 berkapasiti 9MWac pada 29 September tahun ini, diikuti pemasangan panel PV berkapasiti 10.5MWac di LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) pada penghujung tahun ini, dan di LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) berkapasiti 11.5MWac yang dijangka siap pada Disember 2024.

Fasa kedua akan bermula pada tahun 2025 sehingga 2029 dengan memberi tumpuan kepada memaksimumkan penggunaan tenaga boleh baharu kepada 52% di LRA SSP1, SSP2, dan SSP3, serta menggunakan teknologi sistem solar terapung dan aplikasi penstoran tenaga di LRA Sungai Rasau. Manakala, fasa ketiga dari tahun 2030 hingga 2040 melibatkan penggunaan kawasan takungan air di bawah Air Selangor untuk menjana lebih banyak tenaga boleh baharu untuk disalurkan kepada aset-aset yang masih belum mencapai status sifar bersih, sekaligus membolehkan Air Selangor mencapai 100% peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu menjelang 2040.

Visi Tenaga Net Zero 2040 ini merupakan komitmen Air Selangor dalam menyumbang kepada penurunan signifikan pelepasan gas rumah hijau (greenhouse gas – GHG) yang selari serta menyokong sepenuhnya inisiatif kerajaan negeri Selangor dan Malaysia dalam mencapai kelestarian yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 13 – Tindakan Iklim (Climate Action) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN).

-TAMAT-

Related posts

default
Air Selangor Semarakkan Sambutan Bulan Ramadan Menerusi Inisiatif C...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat, Sesama Mara telah menjalankan pelbagai …

default
Air Selangor Kongsi Pencapaian 2023, Akan Mempergiat Usaha dan Inis...
Media

Disiarkan pada 22 Februari 2024   Kuala Lumpur – Bagi merealisasikan visi 2030 untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di …

default
Air Selangor Ceriakan Warga Emas dan Kanak-Kanak Sempena Sambutan T...
Media

Disiarkan pada 9 Februari 2024   Kuala Lumpur – Sempena ketibaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut Sabtu ini, Pengurusan …