Kerja-Kerja Penambahbaikan, Penyenggaraan dan Penggantian Aset di Loji Rawatan Air Sungai Langat Telah Dimulakan

10:00 pagi

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Langat (LRA Sg Langat) telah dimulakan pada jam 9:00 pagi hari ini (Selasa) mengikut jadual seperti yang telah dimaklumkan pada 26 September 2023.

Kerja-kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset ini dijangka akan siap pada jam 7:00 malam, 10 Oktober 2023 (Selasa). Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada para pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan. Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya di kesemua kawasan terjejas di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Hulu Langat pada jam 12:00 tengah hari, 12 Oktober 2023 (Khamis).

Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air. Senarai kawasan yang mengalami gangguan bekalan air berjadual adalah seperti di Lampiran A.

Air Selangor telah menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian. Bantuan bekalan air alternatif menerusi tujuh (7) Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai di Lampiran B.

Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan di seluruh wilayah Air Selangor. Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua stesen pengisian air yang akan dibuka di Sunway Batu Caves dan Selayang Mutiara.

Air Selangor juga telah mengadakan sesi taklimat dengan wakil-wakil rakyat bagi kawasan yang terjejas pada 9 Oktober 2023, diketuai oleh YB Izham Hashim, EXCO Infrastruktur & Pertanian Negeri Selangor. Sesi taklimat tersebut adalah bagi memastikan kelancaran pembekalan air untuk para pengguna.

Para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini daripada semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/. Para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dari saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.

 

-TAMAT-

Related posts

default
Notis Pemberitahuan Awal Gangguan Bekalan Air Berjadual Berikutan P...
Media

6:00 petang   Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan mengenai pelaksaanan kerja-kerja penyenggaraan dan …

default
Air Selangor Semarakkan Sambutan Bulan Ramadan Menerusi Inisiatif C...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat, Sesama Mara telah menjalankan pelbagai …

default
Air Selangor Kongsi Pencapaian 2023, Akan Mempergiat Usaha dan Inis...
Media

Disiarkan pada 22 Februari 2024   Kuala Lumpur – Bagi merealisasikan visi 2030 untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di …