Air Selangor, Pandai Education Jalin Kerjasama Membantu Pelajar SPM B40

26 Oktober 2023

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sesama Mara telah bekerjasama dengan Pandai Education Sdn Bhd (Pandai) untuk membantu pelajar golongan B40 mendapat akses kepada bahan pendidikan digital bagi menghadapi peperiksaan SPM.

Inisiatif ini merupakan lanjutan daripada usaha ‘Memperkasakan Pembelajaran Dalam Talian’ yang diperkenalkan pada tahun 2020 bagi membantu anak-anak dari golongan berpendapatan B40 meneruskan pembelajaran mereka dalam situasi pandemik COVID-19. Kerjasama kali ini bertujuan untuk menyediakan kursus pendidikan yang interaktif, mampan dan lestari, menerusi aplikasi Pandai Premium, bagi membolehkan pelajar-pelajar SPM golongan B40 kekal cemerlang dan terus diberikan perhatian dalam menerima pembelajaran yang berkualiti.

Ir. Abas Abdullah, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor berkata, “Kami berharap menerusi bantuan pembelajaran aplikasi Pandai Premium ini, pembelajaran menjadi lebih menarik dan memberikan para pelajar semangat untuk belajar dan lebih bersedia untuk menghadapai peperiksaan SPM yang bakal tiba.”

Kerjasama antara Air Selangor dan Pandai ini melibatkan sumbangan langganan aplikasi Pandai Premium untuk 70 pelajar daripada kalangan anak-anak warga kerja Air Selangor, 50 pelajar di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan dan 55 pelajar di Kampung Batu 3, Semenyih.  Secara keseluruhannya, seramai 175 orang pelajar daripada keluarga B40 yang akan menduduki peperiksaan SPM 2023 telah terpilih untuk mendapat akses kepada Pandai Premium.

“Kerjasama dengan Pandai merupakan satu langkah penting dalam memperkasakan pembelajaran dalam talian bagi pelajar-pelajar SPM dari golongan B40. Kami berharap melalui akses kepada aplikasi Pandai Premium, mereka dapat memperoleh manfaat yang besar dalam meningkatkan pencapaian akademik mereka,” tambah Ir. Abas lagi.

Pandai Premium merupakan pelan langganan lengkap yang membolehkan pelajar untuk memperoleh semua soalan latihan, ujian, nota, bantuan chat secara 1-on-1, tuisyen online dalam semua subjek dan contoh soalan peperiksaan untuk ulangkaji tanpa gangguan pada bila-bila masa.

Khairul Anwar Mohamad Zaki, Ketua Pegawai Eksekutif Pandai Education Sdn Bhd pula berkongsi, “Pandai direka khas untuk membantu pelajar meningkatkan prestasi mereka melalui pelbagai alat pembelajaran yang interaktif. Kami gembira dapat bersama-sama menyumbang kepada inisiatif ini bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan melalui kolaborasi ini.”

Untuk maklumat lanjut mengenai program Sesama Mara, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com/sesamamara/.

-TAMAT-

Related posts

default
Air Selangor Semarakkan Sambutan Bulan Ramadan Menerusi Inisiatif C...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat, Sesama Mara telah menjalankan pelbagai …

default
Air Selangor Kongsi Pencapaian 2023, Akan Mempergiat Usaha dan Inis...
Media

Disiarkan pada 22 Februari 2024   Kuala Lumpur – Bagi merealisasikan visi 2030 untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di …

default
Air Selangor Ceriakan Warga Emas dan Kanak-Kanak Sempena Sambutan T...
Media

Disiarkan pada 9 Februari 2024   Kuala Lumpur – Sempena ketibaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut Sabtu ini, Pengurusan …