Air Selangor Santuni Tiga Rumah Kebajikan Sempena Sambutan Krismas

Kuala Lumpur – Bagi berkongsi kegembiraan sempena Hari Krismas, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sesama Mara menyalurkan sumbangan kepada tiga (3) buah rumah kebajikan.

Dalam program ini, Air Selangor telah menyumbang barangan keperluan asas seperti barangan dapur, makanan dan kelengkapan rumah kepada kanak-kanak dan warga emas di Pusat Jagaan Rumah Kanak-kanak Triniti Petaling Jaya, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mary, Setapak dan Ti-Ratana Welfare Society, Desa Petaling.

Selain memberi bantuan dan mengunjungi kesemua rumah kebajikan yang terlibat, Air Selangor turut menyantuni kanak-kanak di rumah-rumah kebajikan ini dengan pemberian cenderamata Boboiboy Air untuk menceriakan lagi sambutan Krismas mereka.

Sumbangan kecil yang dihulurkan diharap dapat membantu rumah-rumah kebajikan ini dalam menjaga kebajikan golongan yang kurang bernasib baik, lebih-lebih lagi untuk menyambut perayaan Krismas yang akan disambut pada Ahad ini.

Pada kesempatan ini, Air Selangor ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong dan berusaha dalam menjayakan Program Sesama Mara sepanjang tahun 2022.

Di bawah payung Sesama Mara juga, Air Selangor mengagihkan bantuan barangan makanan asas Box of Hope kepada golongan yang memerlukan. Sehingga Disember 2022, lebih daripada 3,000 kotak Box of Hope telah diagihkan kepada komuniti B40 di Selangor dan Kuala Lumpur.

Untuk memudahkan pemberian sumbangan ikhlas Box of Hope, inisiatif ini telah diperkembangkan kepada platform digital supaya orang ramai mampu memberikan sumbangan menerusi transaksi pembayaran secara dalam talian di www.airselangor.com/boxofhope/.

Kaedah sumbangan Box of Hope sedia ada dalam bentuk pembelian fizikal masih boleh dilakukan di lima (5) lokasi Box of Hope Village Grocer iaitu Tamarind Square Cyberjaya, MyTown Cheras, 1 Mont Kiara, I-City Mall Shah Alam dan Melawati Mall.

Orang ramai juga boleh menyumbang melalui akaun bank CIMB dengan menyertakan nota catatan Bantuan Inisiatif Box of Hope.

Program Sesama Mara merupakan inisiatif akar umbi yang bertujuan untuk membantu komuniti sekeliling di samping memperkukuhkan hubungan Air Selangor bersama pelbagai lapisan masyarakat seperti komuniti setempat, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai program-program Sesama Mara, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.

-TAMAT-

Related posts

default
Notis Pemberitahuan Awal Gangguan Bekalan Air Berjadual Berikutan P...
Media

6:00 petang   Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan mengenai pelaksaanan kerja-kerja penyenggaraan dan …

default
Air Selangor Semarakkan Sambutan Bulan Ramadan Menerusi Inisiatif C...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat, Sesama Mara telah menjalankan pelbagai …

default
Air Selangor Kongsi Pencapaian 2023, Akan Mempergiat Usaha dan Inis...
Media

Disiarkan pada 22 Februari 2024   Kuala Lumpur – Bagi merealisasikan visi 2030 untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di …