Pakatan Integriti & Senarai Semak Integriti

Pakatan Integriti

Dalam menjalankan perniagaan kami, Air Selangor berurusan dengan pelbagai pihak berkepentingan terutamanya pembekal, kontraktor, tukang paip dan vendor-vendor lain serta rakan perniagaan kami. Untuk memastikan mereka diberi layanan secara adil, dan semua pihak mempunyai peluang sama rata, kami percaya ianya amat penting kepada semua orang (termasuk warga kerja dan rakan perniagaan kami). Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang amalan rasuah semasa menjalankan perniagaan.

Pakatan Integriti berfungsi sebagai persetujuan serta komitmen di antara semua pihak yang menjalankan perniagaan dengan kami dengan mengikuti semua komitmen berikut:

  1. Tidak akan terlibat dalam sebarang jenis amalan rasuah seperti menawarkan, meminta dan menerima rasuah;
  2. Tidak akan meminta atau berkongsi maklumat sulit yang berkaitan dengan tender, atau Air Selangor secara amnya kepada mana-mana pihak yang tidak dibenarkan;
  3. Tidak akan menipu tawaran, membentuk kartel dan amalan anti persaingan lain yang boleh menjejaskan proses tender secara kompetitif;
  4. Akan melaporkan sebarang tingkah laku atau salah laku yang mencurigakan kepada pihak berkuasa seperti SPRM atau Saluran Pemberi Maklumat Air Selangor.

Pakatan Integriti mesti ditandatangani oleh warga kerja, dan Pengarah Air Selangor yang menyertai sebarang jawatankuasa perolehan dengan rakan perniagaan sedia ada atau bakal rakan perniagaan  semasa proses pendaftaran vendor dan ketika melakukan sebarang aktiviti tender.

Senarai Semak Integriti

Apabila Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta SPRM) berkuatkuasa pada 1 Jun 2020, tingkah laku rakan perniagaan kami yang menjalankan kerja bagi pihak Air Selangor, juga menjadi perhatian utama kami. Seksyen 17A memperuntukkan Air Selangor bertanggungjawab sekiranya terdapat rakan perniagaan yang menawarkan atau memberi rasuah ketika menjalankan kerja bagi pihak Air Selangor.

Oleh itu, adalah menjadi keutamaan kami untuk memahami dan membantu meningkatkan (bila perlu) tahap amalan anti-rasuah dalam kalangan rakan perniagaan kami. Senarai Semak Integriti, adalah set pertanyaan yang perlu dilengkapkan oleh bakal rakan perniagaan dan rakan perniagaan sedia ada kami untuk mengukur tahap amalan anti-rasuah masing-masing. Senarai semak ini amat penting bagi kami untuk menentukan sama ada rakan perniagaan kami memerlukan bantuan dalam melaksanakan kawalan anti-rasuah yang mencukupi untuk organisasi mereka. Menerusi senarai semak ini, kami akan bekerjasama dengan semua rakan perniagaan yang dikenal pasti untuk meningkatkan kawalan anti-rasuah mereka terutamanya ketika menjalankan kerja bagi pihak Air Selangor.

Kerjasama ini bukan sahaja dapat mengembangkan rangkaian rakan perniagaan yang lebih berkebolehan untuk kami, tetapi juga; meningkatkan tahap integriti dalam menjalankan perniagaan mereka untuk menyokong agenda nasional iaitu masyarakat bebas rasuah.