SRI Sukuk Kelestarian Terbesar Air Selangor Catat Lebihan Langganan Sebanyak 3.6 Kali

20 Oktober 2023

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) baru-baru ini berjaya memuktamadkan penetapan harga dan penerbitan SRI Sukuk Kelestarian Air Selangor (SRI Sukuk) bernilai RM1.0 bilion merangkumi 5 siri bagi tempoh (tujuh) 7 hingga 25 tahun yang merupakan bahagian ke-6 di bawah Program Sukuk Murabahah sedia ada yang bernilai RM10.0 bilion. RAM Rating Services Berhad (RAM Ratings) pada 11 September 2023 telah mengesahkan penarafan penilaian AAA/Stabil dan P1 ke atas Program Sukuk Murabahah tersebut.

Penetapan harga baharu SRI Sukuk ini merupakan tawaran terbesar sehingga kini oleh Air Selangor yang telah menerima sambutan yang luar biasa daripada para pelabur. Disokong oleh tempahan kukuh yang diperoleh daripada pelabur berjumlah RM3.6 bilion, tawaran itu dinaikkan daripada terbitan awal bernilai RM700 juta kepada RM1.0 bilion pada penutupan buku, mencerminkan lebihan langganan sebanyak 3.6 kali.

Ir. Abas Abdullah, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor berkata, “Kami berbesar hati dengan hasil dan sokongan kukuh yang diterima daripada para pelabur sebagaimana yang dicerminkan daripada lebihan langganan 3.6 kali yang luar biasa bagi penerbitan ini. Keyakinan berterusan para pelabur terhadap kredit Air Selangor melambangkan sokongan mereka terhadap agenda kemampanan kami untuk memberi impak positif kepada alam sekitar dan komuniti sekeliling.”

Hasil daripada penerbitan SRI Sukuk ini akan digunakan untuk projek SRI yang layak dan memenuhi kriteria sebagaimana yang dinyatakan dalam Kerangka Sukuk Pembangunan Kelestarian Air Selangor dan/atau Garis Panduan/Kerangka Kelestarian.

Selain itu, Air Selangor juga aktif memperkasakan inisiatif utamanya yang menyasarkan pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW) selaras dengan aspirasi dan matlamat yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC). Inisiatif utama Air Selangor turut merangkumi antara lainnya, pembangunan Skim Bekalan Air Rasau, pemuliharaan dan penyelenggaraan aset air, serta penggantian paip-paip yang sudah usang. Air Selangor juga telah menetapkan matlamat untuk operasi neutral karbon menjelang tahun 2040 bagi Skop 1 dan Skop 2 dengan memanfaatkan projek kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui. Projek yang layak serta mengikut garis panduan/kerangka termasuklah, antara lainnya, bekalan air mampan dan projek pengurusan air mampan, yang mana semuanya selari dengan usaha dan komitmen Air Selangor terhadap kemampanan sistem bekalan air untuk generasi masa depan.

Air Selangor turut mendapat maklum balas positif daripada pasaran berkenaan tawaran SRI Sukuk Kelestarian lanjutan daripada permintaan yang kukuh dalam kalangan para pelabur, yang mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kredit kukuh Air Selangor. Tawaran ini juga memperlihatkan peruntukan yang seimbang kepada institusi kewangan (36%), syarikat insurans (32%), pengurus aset (29%) dan agensi kerajaan (4%).

Bank Islam Malaysia Berhad serta Maybank Investment Bank Berhad merupakan Pengurus Utama Bersama (JLM) untuk tawaran oleh Air Selangor ini.

-TAMAT- 

Related posts

default
Air Selangor Semarakkan Sambutan Bulan Ramadan Menerusi Inisiatif C...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat, Sesama Mara telah menjalankan pelbagai …

default
Air Selangor Kongsi Pencapaian 2023, Akan Mempergiat Usaha dan Inis...
Media

Disiarkan pada 22 Februari 2024   Kuala Lumpur – Bagi merealisasikan visi 2030 untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di …

default
Air Selangor Ceriakan Warga Emas dan Kanak-Kanak Sempena Sambutan T...
Media

Disiarkan pada 9 Februari 2024   Kuala Lumpur – Sempena ketibaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut Sabtu ini, Pengurusan …