Memperkenalkan Loji Rawatan Air Terbaharu Air Selangor – Skim Bekalan Air Rasau

Air Selangor mulakan Projek Takungan Air Pinggiran Sungai terbesar di Malaysia

Loji Rawatan Air Rasau Peringkat 1 akan siap menjelang 2024

Kita sering tidak endah akan perihal sungai dan sentiasa perlu diingatkan betapa pentingnya sumber air mentah semulajadi ini. Sungai Klang yang sepanjang 120km  misalnya, telah teruk tercemar selama beberapa dekad. Sungai ini mempunyai 13 anak sungai utama dan merupakan lembangan sungai keempat terbesar di Malaysia. Walau bagaimanapun, kita tidak perlu lagi risau kerana setelah beberapa dekad diabaikan, Sungai Klang akan dihidupkan kembali dan diberikan nafas baharu. Ini kerana kerajaan persekutuan dan negeri telah bekerjasama rapat untuk memulihkan Sungai Klang, seterusnya memanfaatkan potensinya untuk aktiviti rekreasi, ekonomi dan pelancongan serta sumber air mentah yang baharu. Persepsi negatif terhadap Sungai Klang akan segera berubah kerana dalam beberapa tahun yang akan datang, sungai ini bakal menjadi sumber air mentah baharu untuk loji rawatan air baharu yang membekalkan air kepada para pengguna terutamanya di Wilayah Klang dan Petaling.

Sungai Klang sebagai sumber air baharu di Selangor

 

Perlunya Skim Bekalan Air Rasau

Sejak akhir-akhir ini, kita sering berhadapan cabaran getir berhubung kualiti air mentah di hulu sungai. Air Selangor khususnya, terkesan dengan insiden pencemaran sungai beberapa kali pada tahun lalu hingga menyebabkan gangguan bekalan air yang mana ianya telah memberi impak kepada pengguna. Kebergantungan kepada sumber bekalan air mentah tunggal telah menyebabkan Skim Sungai Selangor berdepan risiko tinggi dengan ketiadaan bekalan tambahan, sementara Loji Rawatan Air Langat 2 pula tidak dapat membekalkan air ke Wilayah Klang. Ini berikutan jajaran paip agihan yang lebih panjang untuk menyalurkan bekalan air dan akan memberi impak kepada kos pembinaan. Mengambil kira faktor ini, keperluan untuk mengenal pasti sumber air mentah baharu telah menjadi keutamaan kami dalam memastikan bekalan air bersih yang berterusan dapat dibekalkan kepada pengguna.

Margin keseluruhan simpanan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga Januari 2021 adalah pada tahap 12.8%. Justeru itu, Air Selangor sedang mengenal pasti sumber air baharu secara aktif bagi memastikan 8.4 juta pengguna terus mendapat bekalan air bersih dan berterusan. Berita baik buat semua, Sungai Klang akan membantu meningkatkan margin simpanan air hingga melebihi 15% sebagai sumber air baharu, sekaligus memastikan masa depan air yang lestari. Ini dapat dicapai melalui pembinaan Projek Skim Bekalan Air Rasau.

Tahukah anda bahawa Sungai Klang adalah kawasan tadahan air ketiga terbesar di Selangor dengan keluasan 1,288 kilometer persegi selepas Sungai Selangor dan Sungai Langat? Namun, hanya 7% air dari Sungai Klang yang boleh diabstrak untuk diproses sebagai air minum. Justeru itu, projek ini dijangka akan menggunakan sumber air mentah dari Sungai Klang secara optimum.

 

Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Terbesar di Malaysia

Skim Bekalan Air Rasau merupakan projek kaedah Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) terbesar di negara. Pembinaan skim ini akan merentasi beberapa lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Pantai-Barat (WCE) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).

Melalui Skim Bekalan Air Rasau, sebanyak sembilan kolam perlombongan bijih timah sedia ada dengan keluasan 489 hektar telah dikenal pasti dan berpotensi sebagai kolam TAPS. Kolam-kolam ini mempunyai  keluasan yang pelbagai, yang mana kolam terbesar berkeluasan sekitar 185 hektar terletak di Wilayah Sepang dan Petaling. Sebagai TAPS terbesar di negara ini, tempoh pembinaan dijangka mengambil masa sekitar dua tahun setengah hingga tiga tahun untuk disiapkan. Sekiranya sungai tercemar, stesen pam air mentah mempunyai pilihan untuk menghentikan abstraksi air dari sungai tetapi dalam masa yang sama loji rawatan air masih terus beroperasi kerana sumber air mentah beralih kepada punca dari TAPS. Dengan peningkatan ketara kualiti air Sungai Klang, pastinya sungai ini berpotensi sebagai sumber air mentah. Kolam-kolam TAPS ini bakal menyimpan sumber air mentah terutamanya dari Sungai Klang dan sebahagiannya dari Sungai Air Hitam dan Sungai Rasau.

 

Bekalan Air Baharu menerusi Skim Bekalan Air Rasau

Loji Rawatan Air Rasau (LRA Rasau) Peringkat 1 mempunyai kapasiti untuk menghasilkan bekalan air bersih sebanyak 700 juta liter sehari (JLH) untuk diagihkan ke Pulau Indah, Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Pulau Ketam, Taman Bukit Lipat Kajang, Seksyen 16, Kawasan Perindustrian Bukit Rajah – Pelabuhan Utara, Bukit Tinggi & Botanik, Bandar Puteri & Putera 2, Taman Sri Andalas, Taman Sentosa, Bayu Perdana, Bandar Klang, Teluk Gedung, Persiaran Raja Muda Musa, Sobena Jaya, Pandamaran, Jalan Tengku Badar sehingga Sijangkang (Kuala Langat) apabila peringkat pertama siap sepenuhnya. Dalam memastikan bekalan air yang lestari dan berterusan ke wilayah Klang dan Petaling, Air Selangor turut merancang untuk membina dan menyiapkan LRA Rasau Peringkat 2 pada tahun 2028. Keseluruhan Skim Bekalan Air Rasau dijangka dapat menghasilkan 1,400 JLH apabila siap sepenuhnya pada tahun 2028.

Pada masa ini, persiapan untuk memulakan pembangunan sedang dilaksanakan. Ini termasuk kerja ukur dan siasatan tanah, tinjauan risiko projek, perancangan laluan paip dan proses pengambilan tanah. Dalam masa yang sama, Air Selangor juga sedang mendapatkan kelulusan permit daripada pihak berkuasa tempatan. Untuk memastikan projek ini berjalan dengan lancar, Air Selangor melalui Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk memantau perkara-perkara yang berkaitan dengan pengambilan tanah dan kelulusan permit dan telah mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Alam Sekitar dengan memberi khidmat nasihat berhubung skop yang perlu diberi tumpuan dalam kajian alam sekitar yang sedang dijalankan.

Kolam-kolam yang dicadangkan bagi Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang bakal menyalurkan air mentah ke Skim Bekalan Air Rasau.

Buat masa ini, proses perolehan untuk reka bentuk dan bina LRA Rasau Peringkat 1 sedang dijalankan.Peluang terbuka kepada pembida untuk mengambil bahagian dalam pusingan pra-kelayakan untuk mengemukakan cadangan mereka. Setelah proses bidaan selesai, Air Selangor dijangka menganugerahkan dua pakej kerja pertama pada November 2021.

 

Impak Positif Terhadap Pengguna

Tanpa Skim Bekalan Air Rasau, margin simpanan air di Wilayah Klang dijangka berkurangan pada tahap 1.9% menjelang tahun 2024. Dengan pelaksanaan skim bekalan air ini, keseluruhan margin simpanan air dijangka akan meningkat lebih 15% di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mana ianya menyumbang kepada peningkatan margin simpanan air di Wilayah Klang pada tahap 20.9% pada tahun 2024.

Dalam masa yang sama, agihan bekalan air juga tidak lagi bergantung kepada Skim Bekalan Air Sungai Selangor iaitu dari Loji Rawatan Air Sungai Selangor (SSP) Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3. Ini kerana Skim Bekalan Air Rasau boleh membekalkan lebih 60% bekalan air yang bersih dan selamat kepada para pengguna di Wilayah Klang, manakala selebihnya pula akan disalurkan dari sumber Loji Rawatan Skim Bekalan Air Sungai Selangor.

Dengan siapnya pembinaan Loji Rawatan Air Rasau Peringkat 1, kawasan di Wilayah Klang akan mendapat bekalan air alternatif sekiranya berlaku gangguan bekalan air di Skim Bekalan Air Sungai Selangor. Ini berikutan terdapat sistem paip agihan yang akan menyalurkan bekalan air alternatif ini dari sumber bekalan air baharu ini. Dengan anggaran penggunaan air sebanyak 1,500 liter air sehari oleh satu akaun pelanggan, Skim Bekalan Air Rasau dijangka dapat membekalkan air kepada 467,000 akaun pelanggan.

 

Ke Arah Masa Depan yang Lestari untuk Industri Air

Di Air Selangor, kami akan terus menerokai inisiatif-inisiatif baharu dalam menghadapi setiap cabaran dan rintangan di samping bersedia menyahut cabaran masa hadapan dalam masa yang tidak diduga.

Ketika Air Selangor memulakan perjalanan untuk membangunkan salah satu kemudahan Takungan Air Pinggiran Sungai terbesar di rantau ini, kami berharap agar dapat berkongsi pengetahuan dengan semua operator air untuk membina dan menyediakan industri air yang lestari pada masa hadapan. Bagi memastikan kami dapat menyediakan bekalan air bersih dan selamat yang lestari dari sumber air mentah baharu, iaitu Sungai Klang, setiap individu perlu memainkan peranan untuk melindungi dan menjaga sungai kita. Ini juga sejajar dengan objektif pelaksanaan Projek ‘River of Life’ di hulu Sungai Klang yang mana ianya menjadi lebih bermakna apabila sungai dapat digunakan untuk pelbagai tujuan demi kesejahteraan masyarakat di sekitarnya. Ini pastinya dapat membantu merangsang pertumbuhan ekonomi negara demi masa depan negara, rakyat dan kita semua.

 

#KitaJagaAir #ProtectOurWater

 

 

Related posts

default
BEKALAN AIR DI 13 KAWASAN WILAYAH KUALA LUMPUR PULIH SEPENUHNYA
Media

16 JULAI 2021, 1:00 TENGAH HARI Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa kesemua …

default
STATUS TERKINI GANGGUAN BEKALAN AIR TIDAK BERJADUAL EKORAN PAIP PEC...
Media

16 JULAI 2021, 7:00 PAGI Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja kecemasan …

default
PELAKSANAAN KERJA-KERJA KECEMASAN BAGI PEMBAIKAN PAIP PECAH DI JALA...
Media

15 Julai 2021, 8:30 malam Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa berlaku kejadian …