11:30 malam
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan berkenaan gangguan bekalan air akibat pengurangan pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) berikutan kekeruhan air mentah yang tinggi akibat aliran kepala air di Sungai Kerling awal hari ini.
LRA Rantau Panjang, SSP1, dan SSP3 telah beroperasi sepenuhnya yang mana pengeluaran air terawat telah kembali pada kadar normal, manakala LRA SSP2 pula dijangka akan kembali pada kadar normal semula pada jam 1:00 pagi, 13 Ogos 2023. Para pengguna akan menerima bekalan air seperti biasa secara berperingkat-peringkat apabila sistem agihan bekalan air telah distabilkan.
Berikutan kejadian ini, para pengguna di enam wilayah Air Selangor iaitu di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Selangor telah mengalami gangguan bekalan air. Sila lihat Lampiran A untuk senarai penuh kawasan yang terjejas.
Bantuan alternatif melalui lori tangki telah digerakkan kepada para pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal. Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300. Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-