Air Selangor Santuni Tiga Rumah Kebajikan Sempena Sambutan Deepavali

6 November 2023

Kuala Lumpur – Bagi berkongsi kegembiraan sempena perayaan Deepavali, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sesama Mara menyalurkan sumbangan kepada tiga (3) buah rumah kebajikan.

Menerusi program ini, Air Selangor telah menyumbang barangan keperluan asas seperti makanan, barang keperluan sekolah, perkasas elektrik dan kelengkapan rumah kepada 137 kanak-kanak dari tiga (3) buah rumah kebajikan anak-anak yatim di sekitar Selangor iaitu Persatuan Rumah Kebajikan Rita (Kapar), Pertubuhan Keselamatan Kanak-Kanak (Klang) dan Pertubuhan Kebajikan Yesuvin Mahligai (Kajang).

Selain memberi bantuan dan mengunjungi rumah-rumah kebajikan yang terlibat, pasukan sukarelawan Hydro Heroes yang terdiri daripada 25 warga kerja Air Selangor turut sama menyertai program CSR ini dengan mengadakan gotong-royong untuk mengecat dinding, memotong rumput dan membersihkan kawasan rumah-rumah kebajikan ini. Selain itu, para sukarelawan ini juga mengadakan aktiviti santai dan menyeronokkan seperti membuat hiasan lantai tradisional ‘kolam’ dan senaman aerobik bersama anak-anak yatim di rumah-rumah kebajikan tersebut bagi memeriahkan dan menceriakan lagi sambutan perayaan Deepavali kali ini.

Di bawah payung Sesama Mara juga, Air Selangor telah mengagihkan bantuan barangan makanan asas Box of Hope kepada golongan yang memerlukan. Sebanyak 4,332 kotak ‘Box of Hope’ telah diagihkan sehingga kini kepada keluarga B40 di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sejak inisiatif ini mula diperkenalkan pada 30 Jun 2020.

Air Selangor berharap bantuan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat membawa kegembiraan di samping memperkukuhkan hubungan antara pelbagai lapisan masyarakat seperti komuniti setempat, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Kaedah sumbangan Box of Hope dalam bentuk pembelian fizikal boleh dilakukan di lima (5) lokasi Box of Hope Village Grocer iaitu Tamarind Square Cyberjaya, MyTOWN Shopping Centre Cheras, 1 Mont Kiara, Central i-City Shah Alam dan Melawati Mall Ampang. Selain itu, Air Selangor juga telah melancarkan inisiatif Box of Hope versi digital yang membolehkan orang ramai menyalurkan sumbangan secara digital melalui laman sesawang www.airselangor.com/boxofhope/.

Program Sesama Mara merupakan inisiatif akar umbi yang bertujuan untuk membantu komuniti sekeliling di samping memperkukuhkan hubungan Air Selangor bersama pelbagai lapisan masyarakat seperti komuniti setempat, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai program-program Sesama Mara, sila layari laman sesawang Air Selangor di https://www.airselangor.com/sesamamara/.

-TAMAT- 

Related posts

default
Air Selangor Semarakkan Sambutan Bulan Ramadan Menerusi Inisiatif C...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat, Sesama Mara telah menjalankan pelbagai …

default
Air Selangor Kongsi Pencapaian 2023, Akan Mempergiat Usaha dan Inis...
Media

Disiarkan pada 22 Februari 2024   Kuala Lumpur – Bagi merealisasikan visi 2030 untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di …

default
Air Selangor Ceriakan Warga Emas dan Kanak-Kanak Sempena Sambutan T...
Media

Disiarkan pada 9 Februari 2024   Kuala Lumpur – Sempena ketibaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut Sabtu ini, Pengurusan …