AIR SELANGOR DAN IWK UMUM KERJASAMA AIR PULIH GUNA

SIARAN MEDIA
16 MAC 2021

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mengumumkan kerjasama untuk memulakan inisiatif kitar semula air yang lestari dan seterusnya akan melonjakkan industri air ke tahap yang lebih baik.

Kerjasama ini yang disokong oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), bakal menyatukan operator air terbesar Malaysia dan syarikat kumbahan nasional dan bakal dilaksanakan melalui Central Water Reclamation Sdn Bhd (“Central Water”), sebuah syarikat usaha sama yang mana 60% saham dimiliki oleh Air Selangor dan 40% pula oleh IWK.

Perjanjian-perjanjian serta surat kerjasama telah ditandatangani pada satu majlis yang diadakan hari ini bagi memuktamadkan usaha sama kedua-dua pemegang saham di antara Air Selangor dan IWK berkaitan usaha sama pulih guna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya secara rasmi. Majlis ini disaksikan oleh YB Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man dan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari.

Usaha sama ini akan menyatukan kepakaran IWK dan Air Selangor. Rawatan bio-efluen yang dirawat di loji rawatan IWK akan dibekalkan kepada Central Water untuk dirawat dengan lebih lanjut di loji rawatan Central Water yang dilengkapi dengan teknologi terkini, untuk menghasilkan air terawat yang tidak boleh diminum dan selamat untuk kegunaan industri.

Air terawat yang tidak boleh diminum ini akan dihasilkan oleh Central Water dan akan diagihkan oleh Air Selangor melalui jajaran paip khas kepada industri perniagaan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk kegunaan industri yang bukan berasaskan makanan dan minuman serta dan kegunaan pertanian. Projek ini adalah yang pertama bagi Central Water dengan operasi air pulih guna yang akan dilaksanakan di lojinya yang terletak di Setia Alam, Selangor, yang boleh menghasilkan 4.0 juta liter air terawat yang tidak boleh diminum sehari (JLH) dengan pelan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran loji kepada 7.5 JLH.

Kolaborasi ini akan membuka lebih banyak peluang untuk membangunkan kegunaan air pulih guna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Selain loji rawatan di Setia Alam, Air Selangor dan IWK juga telah mengenal pasti kerjasama lain yang berkaitan dengan loji rawatan IWK termasuk lojinya di Pantai 2, Kuala Lumpur dan Seksyen 23, Shah Alam.

Kerjasama di antara Air Selangor dan IWK akan mengoptimumkan sumber-sumber air negara yang sedia ada sambil memelihara alam sekitar dan menekankan komitmen jangka panjang Air Selangor dan IWK ke arah pembinaan industri air Malaysia yang lestari seterusnya mendokong sasaran Kerajaan Malaysia dalam mengitar semula 33% daripada efluen dirawat negara pada 2030 di bawah Pelan Induk Teknologi Hijau 2017 – 2030.

-TAMAT-

Related posts

default
Air Selangor Raikan Ulang Tahun Kelima dengan Hydrocade Roadshow P...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) meraikan ulang tahun kelima dengan menganjurkan Hydrocade Roadshow yang penuh …

default
300 Penduduk Komuniti DUN Sungai Tua Terima Sumbangan Box of Hope ...
Media

Kuala Lumpur – Bersempena sambutan ulang tahunnya yang ke-5, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah mengagihkan sumbangan bekalan …

default
Bekalan Air Berikutan Pelaksanaan Kerja-Kerja Kecemasan Pembaikan P...
Siaran

9:00 pagi   Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa bekalan air di kesemua …