Warga Kerja

Air Selangor mempunyai lebih 5,022 warga kerja yang merupakan tulang belakang operasi dan perniagaan syarikat. Bakat warga kerja Air Selangor adalah pelbagai, di mana ia merangkumi golongan profesional dari bidang berbeza, jurutera, pembaca meter, juruteknik, pakar makmal, pegawai khidmat pelanggan, polis bantuan, pemandu lori dll.

Keutamaan kami adalah untuk melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja kami, dengan meminimakan kesan alam sekitar yang berkait dengan aktiviti kami, memastikan kesan positif dan menyumbang kepada pembangunan yang lestari.

Kini, kesemua sepuluh (10) wilayah pengagihan dan dua (2) Loji Rawatan Air kami telah berjaya memperolehi Perakuan Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan OHSAS 18001: 2007 tanpa penemuan ketidakpatuhan utama dan dengan perakuan ini, kami akan mempunyai sistem pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) yang lebih sistematik dan telah diiktiraf di seluruh dunia, sekaligus mencerminkan komitmen syarikat terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjanya.

Bagi pihak kontraktor, Kursus Induksi Keselamatan untuk Kontraktor telah dimulakan sejak tahun 2017 sebagai inisiatif Seksyen HSE untuk memberikan pengetahuan asas kepada kontraktor mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan sebelum dibenarkan bekerja. Inisiatif ini dilakukan dengan mempertimbangkan kewajiban majikan seperti yang disebutkan dalam Seksyen 15 dari Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dalam memberikan maklumat, arahan, latihan dan pengawasan kepada semua pekerja.