KERJA-KERJA PENGGANTIAN INJAP PADA JAJARAN PAIP AIR MENTAH DI EMPANGAN KLANG GATES TELAH DIMULAKAN

6 April 2021, 10:00 pagi

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja penggantian injap pada jajaran paip air mentah di Empangan Klang Gates yang menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas dan Wangsa Maju telah dimulakan pada jam 9:00 pagi hari ini seperti yang dijadualkan.

 

Kerja-kerja penggantian injap ini dijangka akan siap pada jam 9:00 malam hari ini. Selepas kerja-kerja berjadual ini siap dilaksanakan, loji dan sistem agihan akan distabilkan sebelum bekalan air mula disalurkan kepada pengguna. Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah secara berperingkat-peringkat dan berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

 

Seperti yang dimaklumkan, kerja-kerja penggantian ini akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di 12 kawasan di Wilayah Gombak dan 46 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur bermula 9:00 pagi, 6 April 2021. Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 5:00 pagi, 9 April 2021.

 

Air Selangor akan menggerakkan sebanyak 29 lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta upacara pengebumian. Air Selangor turut menyediakan kemudahan pembelian air kepada pihak industri atau pelanggan komersial dengan membuat pembayaran di kaunter-kaunter Khidmat Pelanggan Air Selangor. Para pelanggan perlu menyediakan kenderaan atau lori tangki yang disewa sendiri. Pengambilan air boleh dilakukan di dua stesen pengambilan air di Jalan TPP 5/17, Taman Perindustrian Puchong 5/17 dan Stor Air Selangor Hulu Langat, Seksyen 13, Jalan P/4 Bandar Baru Bangi.

 

Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut dibuka di Sebelah Padang Bola, Hospital Kuala Lumpur dan kawasan letak kenderaan My Capital, Jalan Jejawi, Bangsar bagi kemudahan para pengguna membuat aduan serta berhubung terus dengan pegawai khidmat pelanggan kami.

 

Untuk maklumat semasa mengenai gangguan bekalan air berjadual ini, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com. Pengguna juga boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

 

 

-TAMAT-

Related posts

default
Air Selangor Semarakkan Sambutan Bulan Ramadan Menerusi Inisiatif C...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat, Sesama Mara telah menjalankan pelbagai …

default
Air Selangor Kongsi Pencapaian 2023, Akan Mempergiat Usaha dan Inis...
Media

Disiarkan pada 22 Februari 2024   Kuala Lumpur – Bagi merealisasikan visi 2030 untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di …

default
Air Selangor Ceriakan Warga Emas dan Kanak-Kanak Sempena Sambutan T...
Media

Disiarkan pada 9 Februari 2024   Kuala Lumpur – Sempena ketibaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut Sabtu ini, Pengurusan …