Skim Bekalan Air Rasau Beri Manfaat kepada Penduduk Klang, Pacu Ekonomi Negeri Selangor

30 Mei 2023

Banting –  Projek Skim Bekalan Air Rasau Peringkat Pertama, yang bakal mewujudkan ekosistem bekalan air yang lestari serta menampung keperluan air bersih yang menjadi pemangkin pembangunan di Selangor apabila siap sepenuhnya pada 2025, telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, dalam majlis pecah tanah yang berlangsung di tapak projek, Kampung Seri Cheeding, Banting.

Turut hadir di majlis pecah tanah tersebut ialah YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; YB Tuan Ir. Izham Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani Negeri Selangor; serta Ir. Abas Abdullah, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor.

Menurut Ir. Abas dalam ucapannya ketika majlis pecah tanah tersebut, Skim Bekalan Air Rasau ini adalah salah satu inisiatif jangka masa panjang Air Selangor untuk memastikan bekalan air yang lestari kepada rakyat negeri Selangor, terutamanya di daerah Klang.

“Air Selangor sentiasa bersedia untuk terus memacu pembangunan negeri Selangor. Sebagai pengeluar 1/3 jumlah keseluruhan air terawat di Malaysia dengan 5,200 juta liter sehari (JLH), pembangunan Skim Bekalan Air Rasau ini bertepatan dengan komitmen kami untuk menjadi penyedia perkhidmatan air yang dipercayai oleh para pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Ini selari dengan visi Air Selangor untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terulung di Asia menjelang 2030,” menurut Ir. Abas.

Dengan kapasiti penghasilan air terawat yang bersih dan selamat kira-kira 700 JLH, Skim Bekalan Air Rasau Peringkat Pertama ini merangkumi sembilan bekas kolam perlombongan bijih timah dengan keluasan 489 hektar yang berfungsi sebagai Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dwi-fungsi pertama di negara ini dengan keupayaan pembekalan air serta tebatan banjir. Selain itu, skim ini turut terdiri daripada komponen sistem perkhidmatan air melibatkan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau dan sistem agihan bekalan air.

Sumber air mentah untuk Skim Bekalan Air Rasau ini akan diabstrak dari Sungai Klang yang telah dijadikan sumber bekalan air mentah baharu, di mana Sungai Klang akan menyumbang 20% daripada jumlah keseluruhan pengeluaran air untuk Air Selangor pada 2030.

Air mentah yang diabstrak tersebut akan disalurkan ke LRA Sungai Rasau untuk menjalani proses rawatan yang lengkap termasuk proses pengozonan (ozonation) serta pemantauan dan kawalan untuk mengesan kualiti air bagi memastikan bekalan air terawat yang bersih dan selamat yang mematuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Keupayaan Skim Bekalan Air Rasau Peringkat Pertama menghasilkan air terawat sebanyak 700 JLH ke daerah Klang akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber bekalan air mentah tunggal yang dahulunya 100% bergantung kepada Skim Sungai Selangor.

“Ini sekaligus meningkatkan margin simpanan air bagi daerah Klang daripada 4.3% kepada hampir 10% menjelang Disember 2025,” tambah Ir. Abas lagi.

Peringkat Kedua Skim Bekalan Air Rasau pula akan mula dibangunkan pada 2027 dan dijangka akan siap sepenuhnya pada 2030.

 

-TAMAT-

Related posts

default
Air Selangor Semarakkan Sambutan Bulan Ramadan Menerusi Inisiatif C...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat, Sesama Mara telah menjalankan pelbagai …

default
Air Selangor Kongsi Pencapaian 2023, Akan Mempergiat Usaha dan Inis...
Media

Disiarkan pada 22 Februari 2024   Kuala Lumpur – Bagi merealisasikan visi 2030 untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di …

default
Air Selangor Ceriakan Warga Emas dan Kanak-Kanak Sempena Sambutan T...
Media

Disiarkan pada 9 Februari 2024   Kuala Lumpur – Sempena ketibaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut Sabtu ini, Pengurusan …