STATUS TERKINI: PEMULIHAN BEKALAN AIR DI WILAYAH PETALING, SEPANG, HULU LANGAT DAN KUALA LANGAT

SIARAN MEDIA

24 Disember 2019, 7:00 Pagi

 

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd ("Air Selangor") ingin memaklumkan status terkini pemulihan bekalan air selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih beroperasi semula sejak jam 1.00 tengah hari semalam (23 Disember 2019).

 

Semasa proses rawatan, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (“KKM”) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (“SPAN”) telah melakukan pemantauan dan  ujian kualiti air secara berkala di LRA dan di  Kolam Imbangan. Berdasarkan ujian, Pihak KKM dan SPAN telah mengesahkan air yang dirawat mematuhi piawaian KKM dan tiada bau dikesan pada proses rawatan dan air terawat di Kolam Imbangan serta selamat untuk dibekalkan kepada pengguna.

 

Bekalan air terawat telah mula di salurkan ke dalam sistem agihan untuk dibekalkan ke premis pengguna mulai jam 1.00 pagi ini dan berikutan itu sebahagian kawasan telah mula menerima bekalan air sejak awal pagi ini.

 

Buat masa ini kakitangan Air Selangor dalam proses menstabilkan tekanan di jajaran paip utama serta kolam-kolam utama.

 

Pemulihan bekalan air kepada pelanggan akan berlaku secara berperingkat bergantung kepada kedudukan geografi dan altitud premis pelanggan. Kawasan yang berhampiran dengan sistem agihan dijangka menerima bekalan lebih awal dan begitu juga sebaliknya.

 

Pihak kami menjangkakan bekalan air di semua kawasan yang terjejas akan pulih sepenuhnya dalam masa 72 jam. Senarai kawasan-kawasan yang telah pulih akan kami kemaskini dari semasa ke semasa.

 

Dalam perkembangan berkaitan,  LRA Bukit Tampoi masih belum beroperasi semula kerana pencemaran bau masih dikesan di muka sauk.

 

Sementara bekalan pulih sepenuhnya, bantuan kecemasan melalui lori-lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan terjejas. Sementara itu, 11 buah Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih meneruskan operasinya 24 jam termasuk menyediakan 18 lokasi pili awam seperti di hebahan sebelum ini. Bekalan air melalui botol air minum berkapasiti 5 liter turut giat diedarkan kepada pengguna-pengguna terlibat.

 

Pengguna yang ingin mendapatkan perkembangan terkini berhubung gangguan ini boleh terus rujuk aplikasi telefon pintar Air Selangor, Facebook dan Instagram Air Selangor, atau layari laman sesawang kami di www.airselangor.com. Pihak Air Selangor sentiasa mengemaskini maklumat dari masa ke semasa untuk kemudahan pengguna.