Pemantauan dan Pemeriksaan Berterusan Kualiti Bekalan Air

5 OKTOBER 2019

Pengurusan Air Selangor ("Air Selangor") ingin  memaklumkan, berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan di kolam perkhidmatan dan sistem perpaipan, 33 kawasan yang merekodkan aduan bekalan air berbau menunjukkan pemulihan dengan hanya 15 aduan air berbau dilaporkan dari jam 12:00 tengah malam sehingga jam 10:00 pagi, hari ini Sabtu, 5 Oktober 2019.

 

Berdasarkan ujian pensampelan yang dijalankan ke atas aduan-aduan yang diterima  selain pemeriksaan di kolam perkhidmatan dan sistem perpaipan, keputusan ujian pensampelan mengesahkan air yang dibekalkan adalah selamat digunakan dan mematuhi piawaian parameter fizikal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Pihak kami membuat pemantauan dan  pemeriksaan berterusan ke atas semua aset, kolam perkhidmatan dan sistem agihan serta melaksanakan aktiviti pencucian secara berterusan bagi memastikan air yang dibekalkan selamat digunakan dan mematuhi piawaian yang ditetapkan.

 

Air Selangor komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan kami. Kerjasama pelanggan amatlah dihargai dan mohon  maaf atas segala kesulitan.