PELARASAN BIL AIR SEMASA TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) OLEH AIR SELANGOR

4 JUN 2020

 

Kuala Lumpur - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan mengenai pelaksanaan pelarasan bil air pelanggan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

 

Pengebilan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya semasa PKP adalah secara anggaran dengan merujuk kepada rekod penggunaan sebenar premis pelanggan pada bulan-bulan sebelum pelaksanaan PKP berikutan tiada pembacaan meter. Bermula 2 Mei 2020, Air Selangor telah mula melaksanakan pembacaan meter dan merekodkan penggunaan sebenar air para pelanggan, di mana secara keseluruhannya premis kategori domestik telah menunjukkan peningkatan penggunaan air secara pro rata sebanyak 15 peratus sebulan berbanding penggunaan air sebulan sebelum PKP.

 

Air Selangor akan membuat pelarasan berdasarkan purata penggunaan bil air semasa PKP di mana jumlah bil pada bulan Mac sehingga Mei sebelum pelarasan akan ditolak dengan jumlah bil bulan Mac sehingga Mei selepas pelarasan. Jumlah pelarasan ini akan ditunjukkan dalam bil bulan Jun atau Julai 2020. Bagi jumlah caj terlebih bayar oleh pelanggan berdasarkan bil sebelum pelarasan PKP, baki tersebut akan direkodkan di dalam akaun pelanggan. Air Selangor menjangkakan bahawa pelarasan ini akan selesai dilaksanakan  pada bulan Julai 2020 kerana kitaran bil lengkap akan mengambil masa selama sebulan.

 

Air Selangor telah menyediakan bahan infografik berkenaan dengan mekanisme pengiraan bil yang baharu berdasarkan dua (2) senario yang berlainan untuk memberikan pemahaman yang lebih jelas kepada para pelanggan. Sila rujuk Lampiran A untuk infografik tersebut.

 

Para pelanggan yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai bil yang tinggi digalakkan untuk terus menghubungi Air Selangor untuk siasatan lanjut di talian 15300, WhatsApp ke 019-2800919 atau 019-2816793, media sosial (Facebook, Twitter dan Instagram), Aplikasi Air Selangor serta e-mel Air Selangor (wecare@airselangor.com).

 

- TAMAT -

 

LAMPIRAN A: https://www.airselangor.com/press-release/pelarasan-bil-air-semasa-perintah-kawalan-pergerakan-pkp-4-june-2020