LOJI RAWATAN AIR SUNGAI SELANGOR FASA 1, 2, 3 DAN RANTAU PANJANG MASIH BELUM BEROPERASI (7:00 MALAM)

3 September 2020, 7:00 Malam

 

Kuala Lumpur - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang masih belum beroperasi sehingga jam 6:30 petang ini kerana pencemaran masih lagi dikesan di muka sauk loji-loji dan berada pada tahap 3 TON. 

 

Menurut kenyataan media daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), insiden pencemaran ini disyaki berpunca dari premis perindustrian di kawasan Sungai Gong yang melakukan pelepasan berbau seakan pelarut ke dalam sungai. Sungai Gong merupakan anak sungai kepada Sungai Sembah yang merupakan anak sungai utama Sungai Selangor. Notis penutupan premis perindustrian ini telah dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan pada jam 2.30 petang hari ini.

 

Walaupun penutupan premis ini telah dilaksanakan, baki kesan pencemaran ini masih lagi berada di dalam sungai. Dalam tempoh ini, Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 2,700 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada para pengguna di 1,292 kawasan dan gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka akan mengambil masa yang lama untuk pulih  sepenuhnya kerana keempat-empat loji telah dihenti tugas melebihi 10 jam. 

 

Air Selangor menyarankan kepada pengguna-pengguna untuk mengambil bekalan air bersih di pili-pili awam kerana bantuan melalui lori-lori tangki air adalah diutamakan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis. Para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan bantuan bekalan air bersih di Pusat Khidmat Setempat yang telah disediakan. Air Selangor akan mengagihkan 23,000 botol air minum berkapasiti 5 liter untuk diagihkan dan keutamaan diberikan kepada rumah unit bertingkat seperti flat, pangsapuri dan kondominium.

 

Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com. Para pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air.