Insiden 3 Kejadian Paip Pecah di Pusat Bandaraya

27 November 2019

 

Berikutan beberapa kejadian paip pecah di sekitar Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa sehingga kenyataan ini dikeluarkan paip yang pecah di ketiga-tiga kawasan terlibat telah selesai dibaiki oleh kontraktor lantikan Air Selangor.

 

Ekoran insiden tersebut, pihak Air Selangor telah memulakan siasatan terperinci bagi mengetahui punca sebenar kejadian tersebut berlaku, terutamanya dalam jarak waktu kurang 48 jam.

 

Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan kejadian paip pecah. Antaranya ialah berlaku  pergerakkan tanah yang disebabkan oleh gegaran atau hentakan yang kuat. Ini biasa terjadi apabila kedudukan paip berada tidak jauh dari kawasan pembinaan atau kedudukan paip berada dibawah permukaan jalanraya. Selain itu, pergerakan tanah juga boleh disebabkan oleh aliran air bawah tanah akibat hujan sehingga menyebabkan struktur tanah menjadi lembut dan mengakibatkan paip patah berikutan kelopongan tanah yang tidak lagi mengenggam paip tersebut. Paip pecah juga boleh berlaku akibat tekanan air yang tinggi di mana paip tidak dapat menampung tekanan tersebut terutama paip-paip lama khususnya dari jenis asbestos cement (AC). 

 

Bagaimanapun pihak Air Selangor telah mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengelakkan insiden seperti ini berulang.

 

Dalam kejadian mendapan tanah di jalan Maharajalela, pihak Air Selangor akan  melaksanakan penyelarasan semula tekanan air sehingga mencapai tahap optimum. Ini termasuk pemasangan ‘endcap’ pada paip tepi jalan dan membuat pengalihan tapping untuk 10 buah premis pelanggan yang menerima bekalan air daripada paip tersebut.  

 

Manakala kejadian di Jalan Pinang dan jalan depan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula pihak Air Selangor mendapati paip bersaiz 300mm jenis asbestos cement (AC) telah pecah dan sebagai tindakan segera Pihak Air Selangor telah memasang ‘pressure logger’ untuk membuat analisa profil tekanan bagi menstabilkan sistem bekalan air kawasan tersebut. Dalam pada itu, kawalan injap telah dilaksanakan dengan segera dan pemantauan tekanan di ‘target point’ turut dijalankan.

 

Untuk makluman, paip di Jalan depan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga dari jenis simen asbestos yang telah berusia lebih 30 tahun. Selain bebanan kenderaan berikutan trafik yang tinggi di laluan berkenaan, faktor gegaran atau pergerakan tanah daripada pembangunan di kawasan sekitar tersebut juga boleh menyebabkan paip air yang telah berusia tersebut patah. 

 

Rancangan jangka panjang pihak Air Selangor dalam hal ini ialah untuk menggantikan paip jenis asbestos cement ini. Air Selangor  telah mengenalpasti lebih kurang 438km paip jenis ini yang perlu diganti dan sehingga kini sepanjang 365.16km paip jenis ini telah diganti.

 

Air Selangor akan terus memantau pengagihan air yang optimum kepada semua pengguna di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur ini tanpa memberikan tekanan kepada paip sedia ada.