INISIATIF AIR SELANGOR SELARI PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

24 MAC 2020

 

 

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengambil serius pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Kerajaan bagi mencegah penularan baharu wabak COVID-19 yang bermula sejak 18 Mac hingga 31 Mac 2020.

 

Air Selangor menyokong penuh usaha Kerajaan ini dan pastinya tindakan drastik perlu diambil perhatian oleh semua pihak untuk memutuskan rangkaian jangkitan serta memulihkan keadaan secepat mungkin. Sebagai salah satu perkhidmatan penting negara, kami di Air Selangor turut memainkan peranan dalam memastikan pematuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan untuk keselamatan dan kesihatan warga kerja serta para pelanggan kami.

 

Oleh yang sedemikian, Air Selangor telah bertindak secara proaktif dengan melaksanakan inisiatif-inisiatif selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Kerajaan.

 

Pertama, penutupan sementara semua Kaunter Khidmat Pelanggan Air Selangor di seluruh negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 19 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020.

 

Sepanjang penutupan sementara ini, para pelanggan digalakkan untuk menjalankan segala urusan dan transaksi secara atas talian melalui sistem e-billing atau aplikasi Air Selangor yang boleh dimuaturun melalui App Store atau Google Play Store. Bagi pengguna yang belum mendaftar untuk e-bil Air Selangor, mereka boleh mendaftar di laman web Air Selangor, https://update.airselangor.com/. Ini bagi memastikan agar para pelanggan patuh arahan untuk kekal berada di rumah namun masih tetap boleh melakukan transaksi dengan kami.

 

Kedua, kami juga menghentikan sementara perkhidmatan pembacaan meter dan permohonan baharu bekalan air oleh pihak Pemaju bermula 19 Mac hingga 31 Mac 2020. Ini adalah bertujuan untuk mengurangkan risiko pendedahan terhadap warga kerja kami yang berada di lapangan. Dalam tempoh perintah ini, para pelanggan akan menerima bil anggaran.

 

Ketiga, sebagai langkah pelaksanaan pelan kesinambungan perniagaan yang menyeluruh serta membendung pendedahan warga kerja kami, polisi bekerja di rumah telah dilaksanakan. Sehingga Isnin, 23 Mac 2020, hanya 42% daripada warga kerja Air Selangor yang bekerja sama ada di pejabat atau di tapak kerja, dan penjarakan sosial adalah diwajibkan untuk mengurangkan kontak rapat antara individu.

 

Keempat, kami juga telah membentuk satu pasukan khas di bawah Seksyen Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) Air Selangor. Pasukan khas ini bertujuan untuk berkongsi maklumat terkini COVID-19 dari semasa ke semasa. Selain itu, Bilik Gerakan COVID-19 Air Selangor juga telah diaktifkan untuk sebarang pertanyaan berkenaan COVID-19. Waktu operasi adalah daripada Isnin hingga Jumaat, bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Pasukan khas Seksyen HSE ini juga telah menjalankan proses pembasmian di premis Air Selangor dalam usaha membendung warga kerja kami daripada penyebaran wabak COVID-19.

 

Kami di Air Selangor telah bersedia sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini berlanjutan. Semua Ketua Jabatan di Air Selangor telah meneruskan langkah berjaga-jaga serta membuat perancangan kontigensi.

 

Kami berharap agar para pelanggan dapat memberikan kerjasama yang jitu dalam usaha kita bersama-sama mencegah penularan baharu wabak COVID-19 ini selaras hasrat Kerajaan dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.

 

Para pelanggan dinasihatkan agar tidak panik dalam keadaan genting ini. Air Selangor akan memastikan bekalan air bersih tanpa gangguan untuk membantu pelanggan mengamalkan pengurusan kebersihan diri yang optimum. Namun begitu, beringatlah ketika menggunakan air anda. Jadilah pengguna yang bijak dan jangan membazir air.

 

Kami menasihati para pelanggan agar tidak bimbang tentang bekalan air mereka kerana ia adalah selamat untuk digunakan. Risiko Coronavirus untuk berada dalam bekalan air adalah rendah kerana klorin didoskan dalam proses rawatan air yang merupakan agen pembunuh bakteria, mikroorganisma dan virus.

 

Untuk maklumat lanjut, para pelanggan boleh merujuk kepada Facebook, Twitter dan Instagram Air Selangor atau laman web kami di www.airselangor.com serta hubungi kami di talian 15300 untuk sebarang pertanyaan dan bantuan.

 

 

- TAMAT –