AIR SELANGOR PEMBEKAL TUNGGAL BEKALAN AIR DI SELANGOR, KUALA LUMPUR DAN PUTRAJAYA

25 FEBRUARI 2020

 

 

Kuala Lumpur - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) merupakan syarikat pembekal tunggal bagi perkhidmatan bekalan air di Negeri Selangor, Wilayah Kuala Lumpur dan Putrajaya. Pihak Air Selangor telah menerima lesen sebagai pembekal tunggal bagi merawat dan mengagihkan bekalan air kepada para pengguna pada 13 September 2019. Berikutan itu, Air Selangor telah mula mengeluarkan bil air atas nama ‘AIR SELANGOR’ bagi menggantikan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. atau SYABAS mulai bulan September 2019.

 

Pemberian lesen kepada Air Selangor adalah susulan daripada penstrukturan semula industri bekalan air di Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta pengambil alihan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. atau SYABAS oleh Kumpulan Air Selangor mulai 15 Oktober 2015.  Selain SYABAS sebagai syarikat pengagihan, kesemua syarikat konsesi rawatan air di Negeri Selangor juga telah diambil alih oleh Air Selangor iaitu PNSB Water Sdn. Bhd, Konsortium Air Sdn Bhd (KASB), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn. Bhd.

 

Sehubungan dengan itu, pengguna-pengguna di Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah dinasihatkan menggunakan nama Air Selangor sebagai syarikat pembekalan air tunggal dan bukan lagi SYABAS. Air Selangor sedang dalam proses untuk penjenamaan semula perkhidmatan air dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pengguna.  Dalam konteks ini, Air Selangor juga turut memperkenalkan logo baharu bagi menggantikan logo yang lama.

 

Selain pertukaran nama, Air Selangor juga ingin menasihatkan para pelanggan untuk tidak lagi menghubungi talian bebas tol (PUSPEL) di talian 1-800-88-5252 kerana talian tersebut tidak lagi digunapakai. 

 

Sebaliknya, para pelanggan disarankan untuk menghubungi Air Selangor di talian 15300 yang beroperasi 24 jam sehari, 365 hari setahun untuk sebarang pertanyaan dan aduan mengenai bekalan air. Air Selangor turut mengalakkan para pelanggan untuk muat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk info, pertanyaan dan bantuan bekalan air.

 

 

 

Air Selangor juga mempunyai saluran-saluran komunikasi lain seperti berikut:

 

  • Layari laman sesawang https://www.airselangor.com
  • Ikuti Facebook “Air Selangor”, Instagram “Air Selangor” dan Twitter @  air_selangor
  • Emel wecare@airselangor.com

 

Air Selangor juga ingin berkongsi logo baharu Air Selangor seperti di Lampiran 1. Kerjasama semua pihak untuk menukar dan menggunakan logo baharu Air Selangor amat dihargai.

- TAMAT –