AIR SELANGOR MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN BERSAMA PUTRA BUSINESS SCHOOL BAGI PROGRAM PEMBANGUNAN KEPIMPINAN

19 OGOS 2020

 

Kuala Lumpur - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia untuk Program Pembangunan Kepimpinan Air Selangor yang telah diadakan di Setia Alam Convention Centre. Majlis menandatangani MoU ini disaksikan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Bin Shari. Kerjasama di antara Air Selangor dan Putra Business School ini bertujuan memberi nilai tambah kepada Program Pembangunan Kepimpinan Air Selangor yang sedia ada untuk bakat Air Selangor dalam melahirkan pemimpin yang cemerlang dan berkaliber pada masa akan datang.

 

PBS akan menjadi tempat rujukan dan pusat yang akan mengiktiraf Program Pembangunan Kepimpinan Modal Insan Air Selangor di peringkat nasional dan antarabangsa. Dalam pada itu, PBS juga akan bekerjasama untuk menyelia modul kepimpinan komprehensif melalui latihan praktikal, projek kajian yang berkaitan industri air dan kemahiran pengurusan.

 

Modul latihan untuk Program Pembangunan Kepimpinan Air Selangor ini adalah berdasarkan kompetensi kepemimpinan untuk setiap kategori perjawatan dan merangkumi aspek-aspek utama seperti pengurusan strategi, etika perniagaan, kepintaran perniagaan, pengalaman pengendalian pelanggan serta keberkesanan kepimpinan dalam aspek pengurusan projek.

                                                                          

Program Pembangunan Kepimpinan Air Selangor telah dirangka dan dijalankan sejak tahun 2018 untuk memastikan proses peralihan kepemimpinan bagi perjawatan kritikal di peringkat pengurusan dilaksanakan dengan lebih sistematik dan lancar, serta memberi peluang kerjaya kepada pemimpin muda yang berkaliber. Ini adalah selaras dengan seruan Kerajaan dalam melahirkan lebih ramai pemimpin-pemimpin kompeten di masa depan.

 

Pelan Strategik dan Inisiatif (SPI) Air Selangor yang dirangka untuk tempoh 30 tahun turut merangkumi inisiatif bagi mewujudkan persekitaran pekerjaan yang kondusif. Melalui inisiatif ini, Air Selangor telah melaksanakan program-program kompetensi yang membolehkan setiap warga kerja meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka dari semasa ke semasa mengikut peredaran masa terutama dalam era revolusi industri 4.0 ini.

 

 

 

 

 

Dalam pada itu, Air Selangor juga turut meraikan 36 bakat Air Selangor yang telah menamatkan Program Pembangunan Kepimpinan Air Selangor Sesi 2019/2020, di mana warga kerja tersebut telah menjalani program latihan dan bimbingan lebih 100 jam dalam tempoh dua tahun, dan berjaya menamatkan program kepimpinan dengan kerjasama Leaderonomics Sdn Bhd. Seramai 12 graduan program ini telah  menunjukkan prestasi cemerlang dan telah diberikan amanat untuk mengisi jawatan-jawatan kritikal di Air Selangor. Ini menunjukkan Air Selangor berada di landasan yang tepat dalam menyediakan peluang kerjaya kepada warga kerja dalaman Air Selangor pada masa depan.

 

– TAMAT –

 

 

SUHAIMI KAMARALZAMAN

Ketua Pegawai Eksekutif

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd