Air Selangor Melaksanakan Aktiviti Pemeriksaan dan Pencucian Kolam-Kolam dan Sistem Perpaipan di Kawasan Aduan Air Berbau Secara Berterusan

4 OKTOBER 2019

 

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (“Air Selangor”) ingin memaklumkan, sehingga jam 6:00 petang hari ini, pihak kami terus melaksanakan aktiviti pemeriksaan dan pencucian kolam-kolam perkhidmatan dan sistem perpaipan secara berterusan bagi menangani aduan air berbau yang dilaporkan.

 

Air Selangor memahami keprihatinan pengguna berhubung kes air berbau ini dan telah mengambil tindakan segera bagi mengatasi isu ini dengan melaksanakan aktiviti pemeriksaan dan pencucian keatas kolam-kolam dan sistem perpaipan di kawasan terlibat serta melaksanakan ujian kualiti air terhadap aduan-aduan yang diterima.

 

Sebanyak 150 aduan direkodkan dari jam 10:00pagi hingga 6:00petang hari ini, Jumaat 4 Oktober 2019 dan menjadikan jumlah aduan yang diterima bermula dari 28 September 2019 sebanyak 1,293 kes dimana 1,143 kes telah diperiksa dan selamat digunakan serta memenuhi piawaian air minum kebangsaan bagi parameter fizikal yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pemeriksaan dan ujian keatas aduan yang baru diterima sedang giat dijalankan.

 

Pihak kami juga telah melaksanakan aktiviti pemeriksaan dan pencucian sistem perpaipan keatas 4 lagi kawasan dari jumlah 29 kawasan yang dilaporkan sebelum ini dan menjadikan jumlah kawasan yang telah menjalani aktiviti pemeriksaan dan pencucian sehingga kini berjumlah 33 kawasan. Pemantauan, pemeriksaan dan pencucian secara berterusan akan dilaksanakan sehingga tiada lagi aduan air berbau dilaporkan.

 

Senarai empat kawasan tambahan yang telah menjalani aktiviti pemeriksaan dan pencucian adalah seperti berikut :

 

  1. Lestari Permai
  2. Taman Kajang Impian
  3. Taman Reko Mutiara
  4. Taman Sepakat Indah

 

Mohon maaf atas segala kesulitan dan hubungi kami di talian 15300 atau WhatsApp ke nombor 019-2800919 / 019-2816793 sekiranya pelanggan masih mengalami masalah air berbau.