Air Selangor Komited Cegah Amalan Rasuah di Kalangan warga kerja

5 FEBRUARI 2020

Kuala Lumpur - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sentiasa komited untuk menjadi sebuah organisasi berintegriti tinggi serta bersih dan  bebas dari sebarang unsur rasuah menerusi beberapa inisiatif yang dilakukan syarikat. Komitmen ini dibuktikan dengan beberapa dasar yang telah diperkenalkan bagi membendung risiko gejala rasuah di kalangan warga kerjanya.   Penekanan kepada  lima Nilai Teras yang diperkenalkan Air Selangor iaitu Kerja Berpasukan, Keikhlasan, Integriti, Professionalisma dan Perkhidmatan Terbaik merupakan asas penting ke arah mencapai matlamat tersebut.  Selain itu, Polisi Tiada Hadiah (No Gift Policy), Polisi Pemberi Maklumat (Whistle Blowing Policy),  Pengistiharan Konflik Kepentingan (Conflict Of Interest Declaration), Perjanjian Integrity Perolehan (Procurement Integrity Pact) dan Garis Panduan Bukan Pakatan (Non-Coalition Guidelines) adalah antara dasar-dasar yang telah diketengahkan lebih awal bagi menyokong nilai-nilai teras tersebut.

 

Pada 4 Februari 2020, Air Selangor telah melakar satu lagi sejarah apabila Pengurusan Kanan Air Selangor yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman melakukan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di hadapan Pengarah Bahagian Pendidikan Komuniti, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pesuruhjaya Razim Mohd. Noor. Dalam majlis tertutup yang diadakan di Ibu Pejabat Air Selangor, Jalan Pantai Baharu itu, Pengurusan Kanan Air Selangor turut menandatangai akujanji untuk tidak melibatkan diri dalam sebarang gejala rasuah.  Terdahulu, satu sesi taklimat berkaitan seksyen 17A, Akta SPRM 2019 (Corporate liability) telah disampaikan oleh Ketua Penolong Pesuruhjaya SPRM, Mohamad Tarmize Abdul Manaf.

 

Susulan daripada majlis IBR dan bagi menyatakan komitmen berterusan Pengurusan Kanan Air Selangor dalam membendung gejala rasuah, satu siri jerawara (jelajah) Anti Rasuah di kalangan warga kerjanya akan diadakan selama 3 bulan bermula Februari 2020. Ini bagi memastikan warga kerja menerima sepenuhnya usaha tersebut secara menyeluruh. Ikrar dan akujanji dilakukan secara sukarela atas kapasiti sebagai individu yang bertanggungjawab dan berusaha menjauhkan diri daripada sebarang amalan rasuah.

 

Dalam ucapan sempena majlis IBR, Suhaimi berkata, “Semua warga kerja Air Selangor adalah bertanggungjawab untuk mematuhi ikrar bebas rasuah ini dan mengelakkan daripada menerima atau memberi sebarang jenis rasuah. Setiap ketua jabatan dalam Air Selangor adalah bertanggungjawab memberi penekanan yang serius mengenai bebas rasuah dalam setiap mesyuarat bulanan jabatan”