ADUAN BIL AIR TINGGI SEMASA TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

20 MEI 2020

 

 

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memberi penjelasan mengenai aduan bil air tinggi semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dari 18 Mac 2020 sehingga 30 April 2020, di mana Air Selangor tidak membuat bacaan meter tetapi sebaliknya mengeluarkan bil anggaran  berdasarkan kepada maklumat purata penggunaan harian pada bulan sebelumnya.

 

Sekiranya para pelanggan mendapati bil anggaran pada bulan Mac yang dikeluarkan sebelum ini terlebih caj dan pembayaran telah dibuat ke atas bil tersebut, maka jumlah terlebih bayar tersebut akan direkodkan di dalam akaun pelanggan dan sekiranya terkurang bil, ianya akan ditambah di dalam bil bulan berikutnya berdasarkan kepada bacaan meter sebenar.

 

Bermula 2 Mei 2020, pembacaan meter telah mula dilaksanakan oleh Air Selangor dan bil pada bulan Mac akan diselaraskan melalui bil bulan April dan Mei 2020 berdasarkan kepada  bacaan sebenar meter di premis-premis pelanggan.

 

Selain daripada itu, bil bulanan tinggi juga disebabkan oleh penggunaan air semasa PKP yang tinggi berbanding dengan bulan-bulan sebelumnya. Pelanggan disarankan untuk melayari laman sesawang Air Selangor di https://www.airselangor.com/my-water-smart/water-tariff-information bagi mengetahui lebih lanjut mengenai jadual tarif bil air.

 

Bil air tinggi juga boleh terjadi diatas sebab kebocoran pada sistem paip dalaman premis. Pelanggan dinasihatkan untuk melantik tukang paip berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan dengan segera. Sekiranya bil air tinggi disyaki berpunca daripada bacaan meter yang salah, para pelanggan digalakkan untuk menghubungi pihak Air Selangor untuk siasatan lanjut.

 

Untuk maklumat lanjut dan bantuan mengenai bil dan bekalan air, para pelanggan boleh menghubungi kami di talian 15300, WhatsApp ke 019-2800919 atau 019-2816793, media sosial (Facebook, Twitter dan Instagram) serta laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.

 

Pelanggan disarankan menggunakan air secara berhemat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini.

 

- TAMAT -