AIR SELANGOR BANTU SESI PERSEKOLAHAN ANAK KAKITANGAN DENGAN SUMBANGAN KOMPUTER RIBA DAN PELAN INTERNET PERCUMA

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) semalam, 17 Disember 2020, menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sesama Mara mengagihkan sumbangan komputer riba serta pelan data internet percuma selama setahun bagi membantu melancarkan sesi persekolahan sesi 2021 anak-anak warga kerja Air Selangor dalam situasi pandemik COVID-19.
Inisiatif yang julung kalinya dianjurkan oleh Air Selangor ini diharapkan dapat membantu 75 anak-anak kepada 40 warga kerja golongan berpendapatan B40 dalam proses pembelajaran di rumah secara atas talian yang sudah menjadi norma baharu.

Sumbangan ini adalah antara usaha untuk meringankan bebanan mereka yang mempunyai anak-anak yang sedang mengikuti pembelajaran secara dalam talian di rumah untuk sesi persekolahan tahun 2020 dan yang akan memulakan sesi persekolahan baharu tahun 2021. Program Sesama Mara merupakan inisiatif akar umbi yang bertujuan untuk membantu komuniti sekeliling di samping memperkukuhkan hubungan Air Selangor bersama pelbagai lapisan masyarakat seperti komuniti setempat, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Baru-baru ini juga, di bawah program Sesama Mara, Air Selangor telah melancarkan akaun bank bagi inisiatif ‘Box of Hope’ untuk memudahkan orang ramai membuat sumbangan atas talian tanpa perlu ke cawangan Village Grocer atau mana-mana pejabat daerah Air Selangor. Hasil daripada sumbangan ini akan digunakan untuk memberi makanan asas kepada keluarga yang memerlukan. Sumbangan boleh dibuat melalui akaun CIMB Bank Berhad. Setakat ini, sebanyak 310 buah keluarga telah berjaya dibantu melalui inisiatif ‘Box of Hope’ Sesama Mara Air Selangor.

Program Sesama Mara merupakan usaha dan komitmen Air Selangor untuk bersama-sama berganding bahu dengan pihak berkepentingan dan menyuntik semangat dalam kalangan masyarakat untuk membantu mereka yang memerlukan agar terus maju ke hadapan terutama pada waktu yang mencabar ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai program-program Sesama Mara, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.

– TAMAT –

Related posts

default
Kempen Istimewa Buat Pelanggan Air Selangor dengan kediaman Meter A...
Kempen

Syarat-Syarat Penyertaan Untuk mengambil bahagian, peserta hendaklah mengikuti langkah-langkah berikut:- Langkah 1: Muat turun dan mendaftar di Aplikasi Air Selangor. …

default
Air Selangor Semarakkan Sambutan Bulan Ramadan Menerusi Inisiatif C...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat, Sesama Mara telah menjalankan pelbagai …

default
Air Selangor Kongsi Pencapaian 2023, Akan Mempergiat Usaha dan Inis...
Media

Disiarkan pada 22 Februari 2024   Kuala Lumpur – Bagi merealisasikan visi 2030 untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di …