Air Selangor Berkongsi Kegembiraan Bersama Penduduk B40 Pangsapuri Rimba Jaya Sempena Sambutan Ulang Tahun Ketiga

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) meneruskan usaha murni bagi berkongsi kegembiraan dengan memberikan sumbangan kepada komuniti B40 di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sesama Mara sempena ulang tahunnya yang ketiga.

Selari dengan komitmen berterusan untuk membantu golongan yang memerlukan di bawah payung Sesama Mara, Air Selangor telah menyalurkan bantuan barangan makanan asas, Box of Hope, kepada 200 keluarga di Pangsapuri Rimba Jaya, Shah Alam. Barangan makanan asas ini terdiri daripada beras, minyak, gula, barangan kering dan tepung.

Serahan sumbangan dibuat oleh Pengarah/Ketua Operasi Air Selangor, Ir. Abas Abdullah. Hadir sama dalam program ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif YFBM, Johan Halid dan Pengarah Taylor’s Me.Reka  Makerspace, Mike Choong.

Untuk memeriahkan lagi program ini, personaliti media sosial Mohd Nasrul Faiz Abu Azal atau lebih dikenali sebagai Faiz Dickie turut hadir membuat penampilan istimewa dan juga membantu dalam mengagihkan kotak Box of Hope.

Sehingga September 2022, sejumlah 2,455 kotak Box of Hope telah diagihkan kepada komuniti B40 dan rumah kebajikan terpilih di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Pengagihan kotak Box of Hope dilaksanakan hasil kerjasama bersama Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) dengan penumpuan khusus untuk komuniti B40.

Kaedah sumbangan Box of Hope dalam bentuk pembelian fizikal boleh dilakukan di lima (5) lokasi Box of Hope Village Grocer iaitu Tamarind Square Cyberjaya, MyTown Cheras, 1 Mont Kiara, I-City Mall Shah Alam dan Melawati Mall Ampang. Orang ramai juga boleh menghulurkan sumbangan ikhlas melalui akaun bank CIMB Bank Bhd 80-0798511-8 dengan menyertakan nota catatan Bantuan Inisiatif Box of Hope.

Selain itu, Air Selangor juga telah melancarkan inisiatif Box of Hope versi digital yang membolehkan orang ramai menyalurkan sumbangan secara digital melalui laman sesawang www.airselangor.com/boxofhope/.

Pada waktu yang sama, menerusi inisiatif Memperkasakan Pembelajaran Dalam Talian, Air Selangor juga mengagihkan sumbangan peranti digital ke pusat komuniti Pangsapuri Rimba Jaya bagi membantu sesi pembelajaran secara dalam talian bagi anak-anak keluarga B40.

Inisiatif berterusan ini mula dilancarkan pada bulan Ogos yang lalu di PPR Kota Damansara, hasil kerjasama dengan Taylor’s Me.Reka Makerspace, sebuah hab pembelajaran yang diasaskan oleh Taylor’s University.

Air Selangor berharap bantuan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat membawa kegembiraan di samping memperkukuhkan hubungan bersama pelbagai lapisan masyarakat seperti komuniti setempat, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai program-program Sesama Mara, sila layari laman sesawang Air Selangor di https://www.airselangor.com/sesamamara/.

-TAMAT-

Related posts

default
Air Selangor Semarakkan Sambutan Bulan Ramadan Menerusi Inisiatif C...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat, Sesama Mara telah menjalankan pelbagai …

default
Air Selangor Kongsi Pencapaian 2023, Akan Mempergiat Usaha dan Inis...
Media

Disiarkan pada 22 Februari 2024   Kuala Lumpur – Bagi merealisasikan visi 2030 untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di …

default
Air Selangor Ceriakan Warga Emas dan Kanak-Kanak Sempena Sambutan T...
Media

Disiarkan pada 9 Februari 2024   Kuala Lumpur – Sempena ketibaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut Sabtu ini, Pengurusan …