Ikrar Integriti Pengurusan Tertinggi Air Selangor

Majlis Ikrar Integriti Korporat, juga dikenali sebagai Ikrar Bebas Rasuah telah dijalankan bersama pengurusan tertinggi, warga kerja dan rakan perniagaan Air Selangor, sebagai sebahagian daripada usaha kami dalam memastikan tahap integriti tertinggi dilaksanakan. Sehingga Disember 2020, 100% pengurusan atasan, 70% warga kerja dan 52% rakan perniagaan kami telah melafazkan Ikrar Integriti Korporat.

Jerayawara Kesedaran Integriti dan Anti-Rasuah Bagi Warga Kerja

Selaras dengan keperluan di bawah Garis Panduan Prosedur yang Memadai dan Sistem Pengurusan Pencegahan Rasuah ISO 37001: 2016 (ABMS) di mana syarikat harus menyampaikan dan melatih polisi anti-rasuah dengan tepat kepada warga kerja dan rakan perniagaannya, satu siri jerayawara telah berlangsung meliputi Ibu Pejabat Air Selangor di Kuala Lumpur dan pelbagai wilayah di mana kami beroperasi seperti Hulu Langat, Kuala Langat, Klang, Petaling, Sepang, Hulu Selangor, dan Kuala Selangor.

Sesi Kesedaran Integriti Bersama Rakan Perniagaan

Air Selangor menganjurkan majlis CEO Vendor Engagement yang dihadiri oleh lebih daripada 2,000 wakil, terdiri daripada perunding, kontraktor, pembekal dan vendor, pengurusan kanan Air Selangor, wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan anggota media. Para peserta juga mengambil bahagian dalam Ikrar Integriti Korporat untuk mendukung dan mematuhi amalan perniagaan yang beretika.